Sahabatku itu tidurnya sentiasa tersenyum. Tampak tiada beban di matanya, tanpa berat di dadanya.
Sahabatku itu, tatkala lapang, berzikirlah dia, seolah itulah teman setia tanpa siapa yang sedar.
Sahabatku itu, saat sendiri tersenyumlah dia. Kerana teman setianya itu sentiasa ada.
Pernah sekali aku melihat dia menangis tatkala awal pagi. Lantas kudekatinya dan bertanya perihal kesedihannya. Dalam sendu dia berkata. "Kau katakan padaku bagaimana tidak aku bersedih walhal aku tertidur di saat aku belum lagi mengerjakan solatku. Kau katakan padaku bagaimana tidak aku bersedih saat aku masih belum menemui TuhanKu hanya kerana kealpaanku."
Aku terdiam. Sahabatku ini sememangnya sangat taat. Dibandingkan aku yang boleh dikira bila bangunnya tatkala azan. Sedangkan dia..Ah, malu aku dibuatnya.
Sahabatku itu, sebelum berbuat apa-apa tidak pernah walau sekali dia terlupa menyebut nama Allah. Aku masih ingat saat dia terlalu lapar, lalu dimakannya makanan itu tanpa membaca doa. Baru satu gigitan mencecah giginya, lantas dia mengeluarkannya semula. Aku melihat rona wajahnya merah menahan sedih. Aku bertanya mengapa bersedih. Tanpa berselindung dia menjawab. "Bagaimana mungkin aku makan tanpa mengucapkan syukur kepada TuhanKu? Sedangkan orang-orang miskin sering bersyukur walaupun hanya diberi sisa roti."Terdiam aku seketika.
Sahabatku itu, waktu dalam kesusahan, tak pernah walau sekalipun dia terlupa bahawa Allah itu pasti membantunya. Sedangkan aku, hanya tahu menangis dan merintih.
Saat aku pulang ke rumah dan tergambar diwajahku riak kesedihan, datanglah sahabatku itu dan bertanya masalahku. Lantas kukatakan aku dan sahabatku sedang bertengkar. Pintanya, "Ceritakan tentang sahabatmu itu." Tanpa berselindung aku menceritakan perihal yang terjadi. Dia mendengar penuh khusyuk tanpa mencelah. Selesai aku bercerita dia tersenyum. "Tahukah kau sesungguhnya Allah itu tidak akan memberikan sedikit kesulitan melainkan untuk mengingatkan hambaNya?" Aku diam mendengarnya. Dia menyambung, "Sahabatku, walau badai sekalipun melanda dunia, ingatlah, Allah itu masih ada. Ceritakanlah padaNya. Pasti Dia akan membantumu." Terpana aku mendengarkan nasihatnya itu. Ya, aku alpa.
Sahabatku itu, sebelum perginya dia meninggalkan dunia, masih kuingat pesanannya. "Sahabatku, percayalah pada Allah yang akan membantu kita tiap masa."Sesudah menghadiri pengkebumiannya, ibunya menghampiriku dan memberiku sekeping kertas, nota darinya untukku. Ditulisnya, "Andai kau masih bersedih tentang perihal sahabatmu itu, berdoalah, 'Ya Allah, andai dia benar temanku, dekatkanlah hatinya dengan hatiku. Tetapi jika dirinya bukanlah teman yang baik buat diriku & aku juga bukanlah teman yang layak buat dirinya, jauhkanlah kami. Dan tenangkanlah hatiku dengan ketentuanMu. Amin'. Bersabarlah!"
Ah, rasanya ingin saja aku putarkan masa.
Sahabatku itu, walau pedas mana katanya, walau tajam mana nasihatnya, walau lurus mana tunjuk ajarnya, tidak pernah sedikitpun aku terasa dengannya, tidak sekalipun aku menidakkan nasihatnya. Dan untuk itu, aku redha dengan pemergiannya...
*Al-Fatihah...

No comments:
Post a Comment